Thursday, January 10, 2008

APaBiLa...

Apabila semuanya serba tidak kena, dan anda tidak tahu apa lagi yang hendak dibuat, ingatlah..anda masih boleh bersandar kepada Dia Yang Maha Mengasihi.

Apabila hidup diselubungi kegelapan, semuanya silap, carilah sinar itu dari Dia Yang Memberi Cahaya.

Apabila dibelenggu masalah sedangkan tiada sesiapa pun yang mahu mengambil kisah, ingatlah pada Dia yang tidak pernah melukakan hatimu. Dia Maha Adil.

Apabila hati terluka dan kesakitan itu menumbangkan kudratmu, jangan berputus asa kerana Dia melihat segala-galanya.

Apabila lemah tidak bermaya sedangkan perjalanan masih jauh perlu diharungi, carilah kekuatan itu dari Dia Yang Maha Perkasa.

Apabila hidup ini dirasakan seperti beban, segala-galanya goyah, bangunkan semula kota semangat itu dengan keyakinan bahawa itulah iradatNya.

Apabila jalan di depan digelapi mendung sedangkan tiada sesiapa di sisi sudi menemanimu, carilah jalan lurus itu dari Dia, yang menjadi satu-satunya panduan hidup.

Apabila semua orang disekeliling tidak mahu mendengar suara dan keluhanmu, jangan kecewa kerana Dia Maha Mendengar.

Apabila miskin dan papa, anda terperangkap dalam kesempitan, ingatlah kepada Dia Yang Maha Kaya.

Apabila engkau dalam kedukaan sedangkan tiada tempat untuk melarikan diri, mengadulah kepada Dia Yang Satu.

Apabila keseorangan dan kedukaan itu seperti tiada penghujungnya, serahkan dirimu kepada Dia. Satu-satunya tempat yang boleh digantungkan harapan.

Dan,

Apabila parut lukamu dicederakan lagi, hatimu dicakari kebimbangan, ingatlah bahawa Dia sentiasa bersama orang-orang yang sabar.

SaBaR SenjaTa MuLia HaDapi UjiaN


Tabah terhadap segala dugaan, syukuri nikmat lambang ketinggian iman umat islam.


IMAN terbahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian dinamakan kesabaran dan satu bahagian lagi dinamakan kesyukuran. Kedua-duanya adalah sifat Allah (SWT) dan di antara dua nama-Nya yang mulia kerana Allah (SWT) sendiri menamakan diriNya dengan Sabbur dan Syakur.


Jika seseorang itu jahil daripada memahami erti kesabaran dan kesyukuran, samalah dengan tidak memahami erti kedua bahagian iman itu sendiri. Dengan demikian, samalah ia lupa kepada sifat Allah (SWT) sedangkan untuk mendekatkan diri kepada Allah (SWT) tidak tercapai melainkan dengan iman.


Allah (SWT) berfirman yang bermaksud:


“Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah al-Nahl, ayat 96)


Firman-Nya lagi yang bermaksud:


“Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahala mereka tanpa batas.” (Surah al-Zumar, ayat 10)


Dalam konteks ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Sabar itu separuh iman.” (Hadis Riwayat Abu Na’im daripada Ibn Mas’ud)


Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud:


“Dalam kesabaran terhadap perkara yang tidak disukai itu banyak kebaikannya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi daripada Ibn Abbas)


Perkataan sabar disebut enam belas bentuk dalam al-Quran, iaitu perintah supaya bersabar (merujuk ayat 35 surah al-Baqarah, surah al-Imran (ayat 200), sementara larangan daripada bersikap sebaliknya pada ayat 35, surah al-Ahqaf dan surah al-Anfal, ayat 15.


Allah (SWT) memuji orang yang sabar (surah Ali-Imran, ayat 17 dan al-Baqarah, ayat 177) sementara Allah (SWT) kasih kepada orang yang sabar melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 146.


Kesabaran lain yang dijelaskan dalam al-Quran ialah Allah (SWT) bersama orang yang sabar, kebaikan bagi mereka yang sabar, balasan amal yang paling baik, berita gembira kepada orang sabar, jaminan kemenangan bagi orang yang sabar dan balasan Allah (SWT) tanpa batas kepada orang yang sabar.


Selain itu, orang yang sabar adalah mereka yang kuat semangat dan azam, amalan salih yang besar balasannya adalah sabar, orang yang sabar mereka yang mengambil manfaat daripada ayat Allah (SWT), Ibrahim, kejayaan yang diingini dicapai oleh orang yang sabar, orang sabar boleh menjadi pemimpin dan mempunyai kedudukan tinggi dalam tingkatan iman dan Islam, seterusnya takwa dan tawakal.


Sabar terbahagi kepada tiga bentuk iaitu sabar dalam mentaati Allah (SWT), sabar daripada melakukan maksiat kepada Allah (SWT) dan sabar menghadapi ujian Allah (SWT). Patut diingat bahawa mengadu dan merayu kepada Allah (SWT) tidak menafikan sifat sabar.


Ini seperti mana berlaku kepada Nabi Ya’kub ketika baginda berkata:


“Sesungguhnya hanyalah kepada Allah (SWT) aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku,” (Surah Yusuf, ayat 86).


Adapun yang menafikan sifat sabar adalah merungut terhadap Allah (SWT), manakala bersabar terhadap ujian Allah (SWT) seperti menghadapi bencana alam seumpama banjir besar, gempa bumi, sakit dan lain sebagainya, mangsa perlu menghadapinya dengan mengharapkan balasan sebaiknya daripada Allah (SWT).


Mangsa juga perlu mengharapkan penyelesaiannya daripada Allah (SWT) dan ketiga menganggap ringan ujian itu dengan cara mengingati segala nikmat yang dikurniakan Allah (SWT) selama ini. Dengan demikian akan terasa bahawa ujian itu bagaikan setitik air daripada luasnya laut.


Tanpa senjata sabar dalam perjalanan hidup ini, kehidupan seseorang tidak akan tenang dan damai kerana jalan hidup tidak selalunya mendatar, ada kalanya mendaki dan kadang-kadang jatuh.


- Oleh Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad (Penulis ialah pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya)

Jadikan semangat hijrah cipta banyak kebaikan



PERISTIWA hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah menjadi peristiwa penting dalam kalendar Islam. Bagaimanapun, tarikh 1 Muharam yang dijadikan awal Hijrah bukan tarikh sebenar berlaku hijrah atau pergerakan Rasulullah dari Makkah ke Madinah.


Mengikut catatan sejarah, Rasulullah SAW keluar dari Makkah pada Khamis akhir Safar dan bersembunyi di Gua Thur, satu tempat terpencil di luar kota Makkah, untuk mengelak dikesan kafir Quraisy yang berusaha membunuh Baginda.


Baginda keluar dari Gua Thur, seterusnya menuju ke Madinah ialah pada awal Rabiulawal, mengikut perkiraan Masihi, peristiwa itu berlaku pada 622 Masihi, bermakna sudah 1385 tahun berlalu. Namun, mengikut kiraan Hijrah sudah mencecah 1,429 tahun.


Bilangan hari dalam setahun tahun Masihi ialah 365 atau 366 hari (Februari ada 29 hari), manakala Hijrah bilangan harinya ialah 354 hari. Justeru, kita menyambut tahun baru Hijrah awal 10 atau 11 hari setiap tahun (berdasarkan tarikh Masihi).


Contohnya, umat Islam akan menyambut sesuatu perayaan pada musim sama ialah selepas 33 tahun berlalu (satu pusingan lengkap).


Rasulullah SAW berdepan halangan besar melaksanakan hijrah, tetapi hasil perancangan teliti, ia dapat dilakukan dengan jayanya. Kafir Quraisy terpedaya dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW merancang perjalanan supaya tidak dapat dikesan, ia termasuk melakukan transit di Gua Thur.


Baginda SAW tidak menggunakan kekuatan mukjizat atau dipermudahkan dengan pertolongan di luar kekuasaan manusia. Jelas sekali cara itu memberi pengajaran besar yang wajar dicontohi kerana jika menggunakan mukjizat, sudah tentu usaha itu tidak mampu dicontohi atau diikuti orang kebanyakan kerana mukjizat hanya dikhaskan untuk Rasul.


Peristiwa hijrah dijadikan detik permulaan perkiraan Hijrah yang menjadi kalendar umat Islam. Masyarakat Arab ketika itu belum ada pengiraan tahun, walaupun sudah ada nama bulan berdasarkan kepada musim atau peristiwa.


Detik hijrah diingati sebagai garisan permulaan kepada kejayaan gemilang penyebaran dakwah Islamiah dan kerana itu kita dituntut mengulangi kegemilangannya dengan cara menghayati dan melaksanakan hijrah yang banyak tersirat pengertian di sebaliknya.


Selepas hijrah Rasulullah SAW, Islam dapat disebarkan dengan lebih mudah di Madinah berbanding di Makkah, dan bermulalah tamadun Islam yang berjaya menguasai tanah Arab dan tersebar ke seluruh pelusuk dunia.


Untuk mencapai kejayaan dan mendapat sesuatu yang lebih baik memerlukan kita berhijrah ke arah itu. Perkara ini disebut Rasulullah SAW sebagai menjelaskan perihal hijrah yang dituntut dilakukan setiap umat Islam, selepas peristiwa hijrah Makkah ke Madinah.


Sahabat yang tidak sempat bersama Rasulullah SAW berhijrah berasakan satu kerugian kerana tidak mendapat pahala hijrah. Hakikat sebenar, hijrah tidak hanya perpindahan dari Makkah ke Madinah, tetapi masih banyak konsep hijrah yang perlu dilakukan.


Rasulullah SAW bersabda bermaksud:


“Orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa-apa dilarang Allah (SWT) ke atasnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Ajaran Islam sentiasa mementingkan usaha menuju kebaikan dan kejayaan. Apa yang dilarang Allah (SWT) bermakna ia perbuatan mendatangkan keburukan dan membawa kepada kegagalan hidup. Kita perlu berhijrah meninggalkan semua dilarang dan melakukan apa disuruh.


Justeru, berhijrah adalah sebahagian daripada melaksanakan misi ketakwaan. Berhijrah adalah satu perintah yang perlu dilakukan sepanjang masa. Sesiapa yang mengharapkan kehidupan lebih baik di dunia dan akhirat, tidak dapat tidak mesti berhijrah setiap masa.


Kita mesti sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dan mengharap rahmat Allah (SWT). Konsep hubungan hijrah dan kejayaan mendapat rahmat Allah (SWT) disebut dalam al-Quran melalui firman-Nya bermaksud:


“Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah (SWT) (fisabilillah), mereka itulah yang boleh mengharap (mendapat) rahmat dari-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 218)


Mencapai apa juga kejayaan memerlukan pengorbanan dan sesuatu pengorbanan tidak semestinya membuahkan kejayaan dalam tempoh masa singkat. Adakalanya pengorbanan itu perlu dilakukan berulang selepas menempuh kegagalan sebelum mencapai apa diimpikan.


Bahkan, ada usaha dan pengorbanan tidak berhasil mendapat seperti apa diharapkan di dunia ini, tetapi ia bukan sesuatu yang sia-sia selagi seseorang itu reda apa yang berlaku dan menerima ketentuan Allah (SWT).


Sesungguhnya apa juga perkara baik yang dilakukan akan mendapat pembalasan pahala. Mungkin kejayaan yang diharapkan tidak dapat dikecapi di dunia ini, balasan pahala tetap diterima di akhirat. Kegagalan ditanggung itu adalah sebahagian daripada ujian Allah (SWT).


Berusaha berubah kepada lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna sudah mensia-siakan peluang hidup semalam. Peluang itu tidak akan datang lagi, kerana sudah berlalu menjadi sejarah.


Ketika masih ada peluang meneruskan kehidupan ini hendaklah direbut peluang untuk mengangkat darjat di sisi Allah (SWT). Peluang kelebihan dinikmati hendaklah digunakan sebaiknya sebelum ia berlalu atau hilang. Masa hidup di dunia ini terlalu singkat berbanding kehidupan yang kekal di akhirat.


Rasulullah SAW memberi peringatan supaya merebut kesempatan yang masih ada sebelum datang masa atau keadaan sebaliknya. Sikap bertangguh menyebabkan peluang yang ada sebelumnya akan tertutup, dan kematian adalah pengakhiran kepada semua peluang di dunia ini.


Sabda Rasulullah SAW bermaksud:


“Rebutlah lima kesempatan sebelum datang lima yang lain; masa muda mu sebelum datang masa tuamu, masa sihat mu sebelum datang masa sakit mu, masa kaya mu sebelum datang masa fakir mu, masa lapang mu sebelum datang masa sibuk mu dan masa hidup mu sebelum datang kematian mu.” (Hadis riwayat Tarmizi)


Hijrah membolehkan seseorang melakukan lebih banyak kebaikan untuk diri sendiri, keluarga, agama dan bangsa. Allah (SWT) melipatgandakan kejayaan dan keberkatan kepada mereka yang sanggup bersusah payah melakukan usaha hijrah. Semakin sukar laluan yang perlu ditempuh, lebih tinggi darjatnya di sisi Allah (SWT).


Firman Allah (SWT) bermaksud:


“Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (SWT) dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (SWT) dan mereka itulah orang yang berjaya.” (Surah at-Taubah, ayat 20)


Sesiapa yang berusaha mencapai sesuatu lebih baik dalam kehidupannya sudah melakukan sebahagian daripada maksud hijrah dan mendapat pahala hijrah jika ia diniatkan untuk memperoleh keredaan Allah (SWT). Setiap usaha perlu dilakukan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah (SWT).


Sabda Rasulullah SAW bermaksud:


“Sesungguhnya setiap amal itu bergantung kepada niatnya. Maka sesiapa yang berhijrah semata-mata kepada Allah (SWT) dan Rasul-Nya, maka hijrahnya diterima Allah (SWT) dan Rasul-Nya, dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan duniawi, ia mendapat apa dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya terhenti pada apa yang diniatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Jadikan semangat sempena tahun baru hijrah ini untuk mencipta lebih banyak kebaikan dalam hidup. Dalam Islam tidak ada istilah pencen atau berhenti melakukan kebaikan selagi keupayaan dan peluang masih ada.


- Oleh Lokman Ismail